Sesiapa yang mengucapkannya semasa mendatangi perkuburan, maka akan diampunkan dosanya sebanyak lima puluh

TEKS BAHASA ARAB

‌عن ‌الأصبغ ‌بن ‌نباتة، قال: كنت مع علي بن أبي طالب رضي الله عنه ‌فمر ‌بالمقابر فقال: السلام على أهل لا إله إلا الله من أهل لا إله إلا الله، يا أهل لا إله إلا الله، كيف وجدتم قول لا إله إلا الله؟ اللهم اغفر لمن قال لا إله إلا الله، واحشرني في زمرة من قال لا إله إلا الله. قال علي رضي الله عنه: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: من قالها إذا مر بالمقابر غفر له ذنوب خمسين، قال: يا رسول الله من لم يكن له ذنوب خمسين سنة؟ قال: لوالديه ولقرابته ولعامة المسلمين.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada al-Aṣbagh bin Nabātah katanya: Aku bersama ‘Alī r.a mendatangi perkuburan dan berkata: Salam sejahtera ke atas ahli lā ilāha illā Allah daripada ahli lā ilāha illā Allah, wahai ahli lā ilāha illā Allah. Bagaimana kamu dapati ucapan lā ilāha illā Allah? Ya Allah, ampunkanlah sesiapa yang mengucapkan lā ilāha illā Allah dan kumpulkanlah aku bersama mereka yang mengucapkan lā ilāha illā Allah. ‘Alī r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucapkannya semasa mendatangi perkuburan, maka akan diampunkan dosanya sebanyak lima puluh. Beliau berkata: Wahai Rasulullah, siapa yang tiada baginya dosa sebanyak lima puluh tahun? Jawab Baginda: Untuk kedua ibu bapanya, kaum kerabat dan seluruh kaum muslimin.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 89, hadis nombor 19. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Diriwayatkan al-Dailamī dalam Musnad al-Firdaus dan daripadanya al-Rāfi‘ī dalam al-Tadwīn fī Akhbār Qazwīn. Ibn al-Najjār dalam tārikhnya daripada jalan ‘Alī bin Ya‘qūb al-Zayāt daripada Ya‘qūb bin Isḥaq al-Jurjānī daripada Ibrāhim bin ‘Abd Allah al-San‘ānī daripada ‘Abd al-Razzāq daripada bapanya daripada Mīnā daripada Sa‘d bin Ṭarīf daripada al-Aṣbagh bin Nabātah daripada ‘Alī dengannya.
Pada sanad ini terdapat:
1. Alī bin Ya‘qūb bin Suwaid al-Zayāt al-Warāq al-Miṣrī: Ibn Yūnus menyatakan beliau adalah pendusta yang memalsukan hadith.
2. Ibrāhim bin ‘Abd Allah al-San‘ānī: Terdapat dua riwayat dengan hadith ini yang meriwayatkan daripada ‘Abd al-Razzāq. Salah seorang daripadanya adalah anak lelaki saudaranya iaitu Ibrāhim bin ‘Abd Allah bin Hamām al-San‘ānī. Menurut Ibn ‘Adī, munkar al-ḥadīth dan Dāruquṭnī menyatakan beliau adalah pendusta yang memalsukan hadith. Manakala seorang lagi merupakan Ibrāhim bin ‘Abd Allah bin al-Mundhir al-San‘ānī al-Bāhalī. Ibn Ḥajar menyatakan mastūr. Al-Suyūtī menegaskan yang dimaksudkan dalam sanad adalah yang pertama.
3. Mīnā bin Abū Mīnā al-Kharāz al-Qurashī al-Zuhrī Maulā ‘Abd al-Raḥman bin ‘Auf: Menurut Ibn Ma‘īn, al-Bukhārī dan al-Nasāie beliau tidak thiqah. Abū Ḥātim mendustakannya. Ibn ‘Adī berkata, hadithnya menunjukkan sikap tashayyu’ melampau. Ibn Ḥajar pula berpandangan matrūk.
4. Sa‘d bin Ṭarīf al-Iskāf al-Kūfī: Al-Fallās berkata, beliau adalah ahli Kufah daif hadithnya yang tenggelam dengan kesyiahan. Abū Ḥātim menyatakan munkar hadith, daif dan matrūk. Ibn Ḥibbān dan al-Dāruquṭnī mendaifkannya.
5. Aṣbagh bin Nabātah al-Tamīmī al-Ḥanẓlī Abū al-Qāsim al-Kūfī: Abū Bakr bin Abū ‘Ayāsīh mendustakannya. Ibn Ma‘īn, al-Nasāie, Ibn Ḥibbān, al-Dāruquṭnī dan selainnya melemahkannya. Al-Bāz berkata, kebanyakan hadithnya daripada ‘Alī dan tidak diriwayatkan oleh selainnya. Menurut al-‘Uqailī, beliau ada menyebut tentang raj‘ah. Ibn Ḥajar menyatakannya matrūk yang dituduh rafiḍah. Ibn ‘Adī berkata, Aṣbagh bin Nabātah adalah sahabat ‘Alī bin Abū Ṭālib diriwayatkan daripadanya hadith-hadith bercanggah.
Oleh itu, hadith tersebut adalah mawḍū‘. Al-Suyūtī berkata, sanad tersebut kesemuanya ẓulumāt dan menurut Ibn ‘Irāq, sanadnya ẓulumāt dan padanya terdapat empat individu yang dinisbahkan kepada pendustaan.
Hadith ini palsu kerana majoriti perawinya adalah pendusta.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Muhamad Razin Ramli dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs