Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada setiap Jumaat

TEKS BAHASA ARAB

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من زار قبر أبويه أو أحدهما في كل جمعة غفر له، وكتب برا.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Abū Ḥurayrah berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka pada setiap Jumaat maka akan diampunkan dosanya dan ditulis kepadanya kebaikan.

STATUS

Lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 74, hadis nombor 11. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Diriwayatkan oleh al-Ṭabrānī dalam Mu‘jam al-Ausaṭ dan al-Saghīr melalui jalan Abū al-Qāsim al-Aṣbahānī dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb daripada Muḥammad bin Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl katanya bapaku menceritakan kepadaku (katanya diceritakan kepadaku Muḥammad bin al-Nu‘mān bin ‘Abd al-Raḥman bapa saudara bapaku) daripada Yaḥyā bin al-‘Alā’ al-Rāzī daripada ‘Abd al-Karīm Abū Umayyah daripada Mujāhid daripada Abū Hurayrah. Al-Dailamī menyebut dalam al-Firdaus hadith daripada Abū Hurayrah.
Pada sanad ini terdapat:
1. Muḥammad bin Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl al-Baṣrī Abū Shibl: Al-Dāruquṭnī mencelanya.
2. Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl al-Bāhilī al-Baṣrī adalah bapa kepada Muḥammad yang disebut di atas: Al-Khātib menceritakan Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl al-Baṣrī adalah budak suruhan Bāhilah. Al-‘Uqailī berpandangan Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl daripada Muḥammad bin al-‘Alā’ adalah majhūl.
Sanad yang dikemukakan tidak bercanggah dengan kedua-dua cetakan mu‘jam al-Ṭabrānī iaitu daripada Muḥammad bin al-Nu‘mān bin Shibl daripada Muḥammad bin al-Nu‘mān bin ‘Abd al-Raḥman bapa saudara bapanya daripada Yaḥyā bin al-‘Alā’.
1. Yaḥyā bin al-‘Alā’ al-Rāzī al-Bajalī Abū ‘Amr: Wakī‘ dan Aḥmad mendustakannya. Al-Fallās, al-Nasāie dan al-‘Uqailī menyatakan matrūk al-hadith. Menurut Ibn Ḥibbān, beliau dituduh memalsukan hadith.
2. ‘Abd al-Karīm bin Abū al-Mukhāriq Abū Umayyah al-Baṣrī: Ayyūb menyatakan tidak thiqah. Ibn Ma‘īn dan Abū Zur‘ah mendaifkannya. Aḥmad menyatakan laisa huwa bi shai’ shibhu al-matrūk. Matrūk menurut al-Nasāie dan al-Dāruquṭnī manakala Ibn Ḥajar menilainya daif.
Menurut al-‘Irāqī, riwayat al-Ṭabrānī dalam al-Saghīr dan al-Ausaṭ daripada hadith Abū Ḥurayrah dan Ibn Abū al-Dunya dalam Makārim al-Akhlāq daripada riwayat Muḥammad bin al-Nu‘mān yang dimarfu‘kannya sebenarnya adalah mu‘ḍal. Muḥammad bin al-Nu‘mān adalah majhūl manakala Yaḥyā bin al-‘Alā’ al-Bajalī menurut al-Ṭabrānī adalah matrūk. Al-Sakhāwī berpandangan ‘Abd al-Karīm Abū Umayyah merupakan seorang yang daif.
Hadith ini daif kerana kesemua perawinya lemah.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudari Najwa Amira Roslan dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs