Sesiapa yang pergi ke perkuburan kemudian membaca Surah al-Ikhlas sebelas kali

TEKS BAHASA ARAB

حدثنا أحمد بن إبراهيم بن شاذان، ثنا عبد الله بن عامر الطائي، حدثني أبي، ثنا علي بن موسى، عن أبيه، موسى، عن أبيه، جعفر، عن أبيه، محمد، عن أبيه، علي، عن أبيه الحسين، عن أبيه علي بن أبي طالب قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم «من مر على المقابر وقرأ قل هو الله أحد إحدى عشرة مرة، ثم وهب أجره للأموات أعطي من الأجر بعدد الأموات.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Telah diceritakan kepada kami Aḥmad bin Ibrāhīm bin Shādhān, telah menceritakan kepada kami ‘Abd Allah bin ‘Āmir al-Ṭā’ī, telah menceritakan kepadaku bapaku, telah menceritakan kepada kami ‘Alī bin Mūsā, daripada bapanya, Mūsā, daripada bapanya Ja‘far, daripada bapanya, Muḥammad, daripada bapanya, ‘Alī, daripadanya al-Ḥusayn, daripada ‘Alī bin Abū Ṭālib katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: Sesiapa yang pergi ke perkuburan kemudian membaca Surah al-Ikhlas sebelas kali, akan dikurniakan pahalanya kepada si mati mengikut bilangan orang yang mati.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 80, hadis nombor 14. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Diriwayatkan Abū Muḥammad al-Khilāl dalam Faḍā’il Sūrah al-Ikhlāṣ dan juga al-Dailamī dalam Musnad al-Firdaus melalui ‘Abd Allah bin Aḥmad bin ‘Āmir daripada bapanya. Juga diriwayatkan al-Rāfi‘ie dalam al-Tadwīn melalui Dāwūd bin Sulaymān al-Ghāzī – keduanya daripada ‘Alī bin Mūsā al-Riḍhā daripada bapanya Mūsā bin Ja‘far daripada bapanya Ja‘far bin Muḥammad daripada bapanya Muḥammad bin ‘Alī daripada bapanya ‘Alī bin al-Ḥusayn daripada bapanya al-Ḥusayn bin ‘Alī daripada bapanya ‘Alī.
Menurut al-Ḥasan bin ‘Alī al-Zuhrī, tiada kesakitan pada riwayat ‘Abd Allah bin Aḥmad bin ‘Āmir bin Sulaymān bin Sāliḥ Abū al-Qāsim al-Ṭā’ī daripada bapanya. Ibn al-Jawzī pula menyatakan, beliau meriwayatkan naskhah yang batil daripada ahl al-bait dan diriwayatkan dalam al-Mawḍū‘āt satu hadith daripada jalan ‘Abd Allah bin Aḥmad bin ‘Āmir daripada bapanya. Kemudian katanya ‘Abd Allah bin Aḥmad bin ‘Āmir dan bapanya banyak meriwayatkan hadith-hadith munkar daripada naskhah ahl al-bait yang tiada asal. Al-Dhahābī juga menyebut beliau sentiasa dengan rekaannya atau rekaan bapanya. Menurut al-Sakhāwī pula, ‘Abd Allah dan bapanya adalah pendusta.
Pada riwayat al-Rāfi‘ie pula, terdapat Dāwūd bin Sulaymān bin Wahb al-Ghāzī al-Jurjānī Abū Sulaymān Maulā Quraisy. Ibn Ma‘īn berkata, beliau adalah pendusta yang membeli buku. Abū Ḥātim menyatakannya majhūl dan Yaḥyā bin Ma‘īn mendustakannya. Dengan semua keadaan, beliau adalah shaikh yang berdusta dan naskhahnya adalah palsu daripada ‘Alī al-Riḍā.
Setiap sanad tersebut rosak dan hadithnya palsu malah beliau dikenali sedemikian sebagaimana yang dihukumkan al-Albānī. ‘Abd Allah bin Aḥmad bin ‘Āmir daripada bapanya dan Dāwūd al-Ghāzī dan lain-lain termasuk dalam kalangan pendusta yang meriwayatkan naskhah ‘Alī al-Riḍā dan setiap mereka mencuri daripada yang lain.
Hadith ini adalah palsu kerana perawi-perawinya adalah pendusta.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudari Nurul Ashikin Nadzri dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs