Kisah Anak Amru bin al-As Berlumba dengan Orang Biasa

 

TEKS BAHASA ARAB

TEKS BAHASA MALAYSIA

Anas bin Malik r.a., melaporkan: Seorang lelaki daripada kalangan penduduk Mesir menemui Umar bin al-Khattab r.a., lalu berkata: Wahai Amir al-Mukminin, saya berlindung dengan tuan daripada kezaliman. Jawab Umar: Anda berlindung dengan orang yang diberikan perlindungan. Lelaki itu menyatakan; Saya berlumba dengan anak lelaki Amru bin al-As dan saya berjaya mengalahkannya, tetapai dia telah bertindak memukul saya dengan rotan, sambil menyatakan; Saya adalah anak orang yang paling mulia (bangsawan). Umar segera menulis surat kepada Amru memerintahkan Amru datang mengadap beliau bersama dengan anaknya. Kemudian Umar mengatakan;semula anak Amru. Lelaki itu mengambil rotan tersebut lalu merotan anak Amru. Umar berkata: Rotanlah anak yang malang ini. Kata Anas: Lelaki itu merotan Amru.

Demi Allah beliau benar-benar merotan anak Amru dan kami suka beliau merotan Amru. Lelaki itu tidak berhenti merotan anak Amru sehingga kami mengharapkan beliau berhenti daripada berbuat demikian. Setelah itu Umar bekata kepada lelaki Mesir itu; Letakkan rotan di atas tulang selangka Amru. Jawab lelaki itu: Wahai Umar, hanya anaknya sahaja yang merotan saya dan saya telah membalas segala perbuatannya. Seterusnya Umar berkata: Semenjak bila anda memperhambakan manusia, bukankah ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan bebas merdeka? Jawab Amru: Wahai Amir al-Mukminin, saya sebenarnya tidak tahu menahu tentang kes ini dan lelaki ini pula tidak menemui saya untuk mengadu hal.

STATUS

Sangat lemah

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Ini adalah hasil kajian Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim and Prof. Madya Dr. Rohaizan bin Baru and Ustaz Abdul Wahid bin Salleh,

Takhrij Kisah

Kisah di atas dikeluarkan oleh Ibn Abd al-Hakam dalam Futuh Misr Wa Akhbariha (hlm. 290). Kisah di atas juga dikemukakan oleh Muhammad bin Yusuf al-Kandahlawi dalam Hayat al-Sahabah (jil. 2, hlm. 88) bab Adlu al-Nabi SAW Wa Ashabuhu, katanya: Ibn al-Hakam mengeluarkan daripada Anas r.a., seorang lelaki daripada kalangan penduduk Mesir menemui Umar bin al-Khattab r.a, lalu menyatakan: Wahai Amir al-Mukminin. Seterusnya beliau menyatakan: Begitulah yang disebutkan dalam Muntakhab Kanz al-Ummal (jil. 4, hlm. 420).

Said bin Yunus menyatakan Ibn Abd al-Hakam yang mengeluarkan hadis di atas adalah seorang faqih. Beliau banyak  menguasai bidang hadis dan kisah-kisah Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan dalam Tahzib at-Tahzib (jil. 6, hlm. 189), al-Quda’i menyatakan; Ibn Abd al-Hakam adalah seorang ahli hadis yang alim tentang sejarah dan merupakan tokoh yang bertanggungjawab mengarang buku tentang sejarah Mesir dan lain-lain.

Penilaian

Kisah di atas sebenarnya adalah suatu kisah yang sangat lemah, manakala sanadnya terputus dan kelam. Sanad yang terputus ini dapat dilihat pada kenyataan Ibn Abd al-Hakam sendiri dalam Futuh Misr (290): Kami telah diberitahu daripada Abu Ubaidah daripada Thabit bin al-Bunani dan Hamid daripada Anas, lantas beliau menyebut kisah di atas seterusnya. Sebenarnya tidak diketahui siapa syeikh yang diambil hadis dan kisah di atas oleh Ibn Abd al-Hakam. Sehubungan dengan itu ia juga menjelaskan Abu Ubaidah juga tidak mengetahui daripada siapa beliau meriwayatkan hadis tersebut.

Dengan ini sanad hadis di atas adalah kelam dengan sebab kejahilan dalam mengenal pasti siapakah syeikh yang diambil hadis di atas oleh Ibn Abd al-Hakam. Kejahilan tersebut semakin bertambah berikut timbul kejahilan dalam mengenal pasti perawi yang meriwayatkan hadis daripada Thabit. Dalam Tahzib al-Kamal (3/244/797) kita dapati bilangan mereka melibatkan 104 orang perawi dan Abu Ubaidah tidak termasuk ke dalam salah seorang daripada mereka. Kejahilan juga muncul berikutan kegagalan dalam mengenal pasti siapakah perawi yang meriwayatkan daripada Hamid. Dalam Tahzib al-Kamal (5/236/1507), bilangan mereka adalah seramai 73 orang perawi tidak termasuk di dalamnya Abu Ubaidah. Dengan penganalisaan ini didapati sanad hadis di atas adalah terputus dan kelam, manakala teksnya adalah mungkar.

RUJUKAN

Basri bin Ibrahim, Rohaizan bin Baru, & Abdul Wahid bin Salleh. (2015). Kisah-Kisah Lemah Yang Sewajarnya Dilihat Semula Oleh Para Penceramah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.

MAKLUMAN

Hasil penyelidikan ini telah dimasukkan disini melalui Projek 60 Kisah-Kisah Lemah yang biayai oleh para dermawan melalui Tabung Pembangunan Koleksi Hadis, Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan buat penaja-penaja dan warga tim semakhadis.com. Aamiin!

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs