Sesiapa yang memasuki perkuburan lantas membaca Surah Yasin

TEKS BAHASA ARAB

عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من دخل المقابر فقرأ سورة يس خفف عنهم يومئذ وكان له بعدد من فيها حسنات.

TEKS BAHASA MALAYSIA

Daripada Anas bin Mālik daripada Nabi s.a.w sabdanya: Sesiapa yang memasuki perkuburan lantas membaca Surah Yasin, akan diringankan kepada mereka pada hari itu dan dikurniakan kepadanya sebilangan kebaikan sebanyak orang yang meninggal dalam kubur itu.

STATUS

Palsu

KOMENTAR ULAMA/PENGKAJI HADIS

Hadis ini merupakan salah satu hadis kajian Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai yang diselia oleh Dr. Faisal Ahmad Shah dalam Disertasi Universiti Malaya bertajuk Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan, di halaman 79, hadis nombor 13. Berikut adalah komentar beliau terhadap hadis ini:

Diriwayatkan al-Tha‘labī dalam tafsirnya melalui jalan Muḥammad bin Aḥmad al-Riyāḥī daripada bapanya daripada Ayyūb bin Mudrik daripada bapanya ‘Ubaydah daripada al-Ḥasan daripada Anas bin Mālik dengannya.
Pada sanad ini terdapat:
1. Ayyūb bin Mudrik Abū ‘Amral-Ḥanafī al-Yamāmī kemudian al-Dimashqī: Ibn Ma‘īn mendustakannya. Abū Zur‘ah, Ya‘qūb bin Sufyān, Ibn ‘Adī, Abū Ḥātim, al-Nasāie dan al-Dāruquṭnī menyatakannya matrūk.
2. Abū ‘Ubaydah daripada al-Ḥasan: Terdapat kecacatan pada beberapa perawi digelar Abū ‘Ubaydah yang meriwayatkan daripada al-Ḥasan antaranya Mujjā‘ah bin al-Zubair al-‘Atikī yang didaifkan oleh Shu‘bah dan selainnya. Manakala menurut Ibn Ma‘īn, majḥul.
Hadith ini adalah palsu dan dinyatakan sebagai pembahruan dalam pengurusan jenazah.

RUJUKAN

Nur Farha Binti Muhammad Faleh Lai. (2020). Hadith Daif Dan Palsu Mengenai Pengurusan Jenazah: Kajian Pengamalan Masyarakat Islam di Tumpat, Kelantan. Universiti Malaya.

MAKLUMAN

Maklumat ini adalah hasil sumbangan penulis iaitu Saudari Nur Farha dan para dermawan seperti Saudara Ahmad dan lain-lain, melalui Tabung Semakhadis.com. Moga Allah jadikan ia sebagai pemberat timbangan amalan buat semua yang terlibat. Aamiin!

Mohon lapor sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Ingin mempelajari ilmu hadis dengan lebih mendalam? Daftar segera di KUIPs

Tawaran Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs